fbpx

Mahkamah: Kes rasuah Adam Radlan di Shah Alam dipindah bicara bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Radlan (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh SHIDIQQIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pertuduhan rasuah terhadap ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di Mahkamah Sesyen Shah Alam, akan dibicara bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghadapi sejumlah lima pertuduhan iaitu tiga di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam.

Di ibu negara, Adam Radlan didakwa di dua Mahkamah Sesyen pada 21 dan 28 Februari lalu melibatkan dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM2 juta.

Tertuduh yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat, turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari lalu melibatkan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Ketika kes disebut di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaidi memaklumkan pihak pendakwaan akan memindahkan dua pertuduhan di Mahkamah Shah Alam untuk dibicarakan secara bersama dengan kes di Kuala Lumpur.

Ujar beliau, kes di Shah Alam akan disebut pada 14 April ini.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan memaklumkan, pihak pembelaan tiada bantahan terhadap pemindahan kes anak guamnya.

Maziah turut memberitahu, pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan perbicaraan kepada pembelaan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 51(a) Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, Rajan Navaratnam kemudian mengesahkan sudah menerima dokumen-dokumen tersebut.

Azura menetapkan tarikh sebutan selanjutnya pada 29 Mei ini untuk serahan dokumen yang lain.

Adam Radlan, 42, dituduh menerima suapan wang tunai RM500,000 berkaitan projek Jana Wibawa.

Ahli perniagaan itu turut didakwa meminta suapan sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat lain mendapatkan surat setuju terima bagi projek pembinaan jalan bernilai RM47.8 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI