JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan kepimpinan di 14 kawasan seluruh Johor berhubung fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah termasuk ancaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM).
Penasihat MAINJ, Datuk Dr. Noh Gadot berkata, sesi penerangan yang itu antara langkah diambil pihaknya dalam memberi didikan dan kesedaran terhadap ancaman HTM di negeri ini.
Katanya, program yang akan diadakan akhir tahun ini itu antaranya melibatkan Pegawai Daerah (DO) dan Penolong Pegawai Daerah (ADO).
“Ada sebahagian fatwa yang mana Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya tidak digazetkan sebaliknya diberi pencerahan menerusi pendidikan, khutbah, forum dan sebagainya.
“Sesi penerangan ini penting untuk menyampaikan maklumat yang berkaitan dalam usaha menghentikan penyebaran fahaman HTM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Aplikasi Pesanan dan penghantaran makanan halal, Odejee, di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Menurut Noh lagi, pendekatan mendidik perlu diguna dalam menangani penyebaran fahaman HTM manakala penguatkuasaan undang-undang diambil sebagai langkah terakhir.
“Pendekatan penguatkuasaan kita ambil yang paling akhir, ada yang kita panggil beri penerangan. Harapan kita mereka sedar dan kembali ke pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
“Kalau mereka tahu lebih awal, boleh selamatkan banyak perkara, kerana kalau kita lihat kadang kala yang tidak faham mereka hanya ikut sahaja (fahaman HTM).
“Dengan pendekatan hikmah dan budi bicara mungkin boleh mengubah mereka untuk kembali ke pangkal jalan,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, pihaknya memandang serius isu penyebaran HTM di negeri ini dan akan bekerjasama dengan polis untuk mengambil tindakan yang perlu.-K! ONLINE