fbpx

Menyanyi tergantung, Naim Daniel diiktiraf Malaysia Book of Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAIM berharap pengiktirafannya daripada MBR akan menjadi inspirasi buat anak seni yang lain agar berani melakukan pembaharuan dalam persembahan.

PETALING JAYA – Persembahan Naim Daniel yang menyanyi secara tergantung dan terbalik ketika Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) pada 12 Februari lalu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).

Pengiktirafan tersebut dianugerahkan kepada Naim kerana menjadi penyanyi pertama yang menyanyi secara terbalik dalam persembahan secara langsung.

Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin yang mempersembahkan lagu Mainan pada anugerah tersebut mengakui terharu dengan pengiktirafan diperoleh pada permulaan bulan penuh rahmat Ramadan yang disambut hari ini.

“Hilang dalam kegembiraan sebenarnya. Ini satu pembukaan yang baik dalam melangkah ke bulan Ramadan tahun ini.

“Pengiktirafan yang diberikan menyuntik semangat untuk terus berani menghasilkan sesuatu perkara baharu.

“Hari ini satu lagi sejarah tercatat dalam perjalanan saya sebagai anak seni dan semua itu takkan terhenti di sini selagi saya menghirup nafas daripada semangat dan doa anda semua,” katanya.

SIJIL pengiktirafan yang diterima Naim untuk persembahan lagu Mainan pada pentas AJL37 bulan lalu.

Penyanyi berusia 26 tahun itu berkongsi detik manis membabitkan persembahan serta pengiktirafan tersebut menerusi hantaran Instagram.

Pada masa sama, Naim turut menyuntik semangat kepada semua anak seni supaya terus berani mencuba dalam setiap perkara yang mereka lakukan.

Terdahulu, bagi menjayakan persembahan secara tergantung dan terbalik, Naim memaklumkan dia menjalani latihan antara tiga hingga empat hari.

Malah pelakon Projek: High Council itu turut mendapatkan khidmat nasihat doktor selain merealisasikan aksi berkenaan di bawah pemantauan profesional termasuk pasukan perubatan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Naim juga tidak mengambil makanan atau minuman beberapa jam sebelum persembahan berlangsung.

Lagu Mainan ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga serta lirik Arisz Ab. Rahman hingga kini meraih perhatian 1.4 juta pendengar dalam YouTube. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI