KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi golongan berkemampuan tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan, sebaliknya melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bahkan pembinaannya juga tidak sesekali menggunakan tanah milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dikhususkan untuk membantu golongan miskin serta memerlukan.
“Dalam perancangan kami tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan, sebaliknya guna PFI. Kita akan kerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan dan dalam hal ini, kita mesti keluar dari kepompong tanpa kotak.
“Tentang penggunaan tanah, saya ingin beri jaminan jika sekolah atau MRSM ini didirikan, saya pastikan tidak guna tanah rakyat miskin untuk dibina, tetapi kita kerjasama pintar dengan beberapa pihak untuk pembinaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan dan soalan tambahan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-PH) berkaitan MRSM berbayar bagi golongan berkemampuan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, permintaan pelajar untuk memasuki MRSM berada pada tahap lebih 300 peratus dan kajian kebolehlaksanaan turut dilakukan bagi memastikan hanya mereka memenuhi kriteria diterima masuk.
“Kita telah melakukan kajian kebolehlaksanaan dan ramai pelajar berkelayakan masuk ke MRSM dari segi akademik, tetapi tidak layak dari segi pendapatan ibu bapa terutama T20 dan M40.
“Salah satu syarat kemasukan ke MRSM ialah pengutamaan kepada kumpulan B40. Terdapat banyak juga permintaan alumni MRSM yang telah menjadi ibu bapa serta mahu anak mereka masuk MRSM, tetapi sebagaimana saya sebutkan pendapatan ini tidak menyebabkan anak mereka layak.
“Tanpa kompromi dari segi kualiti dan kelulusan minimum akademik, kita akan buka ruang seluas-luasnya yang sedia ada apatah lagi yang berkemampuan bawa anak mereka ke MRSM yang akan diwujudkan secara berbayar,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau telah menubuhkan Sekolah Menengah Agama Imtiaz Ulul Albab tanpa peruntukan kerajaan yang telah beroperasi sejak 11 tahun dahulu.
“Ibu bapa bayar kira-kira RM2,000 sepatutnya sebulan, tapi untuk bayaran kos operasi, gaji guru serta utiliti dan sebagainya, sebenarnya sekolah swasta yang telah saya lakukan, ini yang akan dilakukan oleh Mara di mana kisah kejayaan itu sudah ada.
“Kumpulan pertama (pelajar) sekolah tersebut sekarang ini sedang melanjukan pengajian doktor falsafah di Oxford dalam jurusan Sains Komputer. Jangan khuatir saya ingin sebut fikrah kita sama dan pelaksanaan saya pastikan, kita tidak akan pernah berkompromi dari segi kualiti,” katanya menjawab pertanyaan tambahan daripada Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai). – KOSMO! ONLINE