GUA MUSANG – Sebuah keluarga di sini terpaksa menumpang di tandas surau berhampiran rumah mereka selepas tandas dan dapur rumah mereka di Kampung Baru di sini runtuh sejak seminggu lalu.
Mohd. Nazeri Hasim, 41, bersama isteri, Miss Sini Disuma, 40, enam anak dan dua anak saudara tiada pilihan lain kerana tandas surau itu paling dekat dengan rumah mereka.
Mohd. Nazeri berkata, mereka sekeluarga pada mulanya dikejutkan dengan bahagian tandas yang runtuh minggu lalu, disusuli dengan bahagian dapur yang sudah reput.
Katanya, disebabkan tiada tandas lain, dia dan seluruh ahli keluarga terpaksa menggunakan tandas surau yang jaraknya 10 meter dari rumah.
“Kejadian yang pertama membabitkan tandas yang runtuh berlaku sebelum subuh dan ia amat mengejutkan kami sekeluarga.
“Pada waktu tengah hari keesokan harinya, dapur pula runtuh.
“Kami bernasib baik kerana anak-anak tidak berada di tandas dan dapur ketika itu,” katanya.
Mohd. Nazeri memberitahu, dia tinggal di rumah papan terbabit selepas banjir besar pada 2014.
Katanya, disebabkan mengalami masalah kewangan, dia masih tidak mampu membaiki tandas dan dapur yang
runtuh.
“Saya hanya bekerja kampung dan memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
“Wang yang ada hanya mampu untuk makan, minum dan membeli kelengkapan persekolahan anak.
“Empat anak masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan besar pada awal pembukaan sekolah,” katanya.
Terdahulu keluarga Mohd. Nazri dikunjungi Penggawa Daerah Galas, Sopuddin Yusoff bersama rombongan Persatuan Cakna Kasih Gua Musang menghulurkan bantuan makanan asas kepada keluarga terbabit.
Sementara itu, Miss Sini berkata, dia sangat berbesar hati sekiranya ada pihak yang sudi membantu membaiki dapur dan tandas rumahnya yang runtuh.
“Kami berasa segan untuk ke tandas surau setiap hari kerana mempunyai ahli keluarga yang ramai.
“Saya berharap ada pihak yang dapat membantu kami membaiki binaan rumah yang runtuh itu.
“Sebelum ini, kami juga merupakan penerima bantuan makanan asas daripada pusat khidmat Ahli Dewan
Undangan Negeri Galas dan kerajaan negeri bagi mengurangkan beban kami sekeluarga,” ujarnya lagi.
Orang ramai yang ingin memberi bantuan, boleh menghubungi Mohd. Nazeri di talian 014-634 4157 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional miliknya yang bernombor 0302041000095854.