fbpx

Pemandu asyik lihat aplikasi Waze punca kereta rempuh motosikal warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu tukang masak selepas merempuh seorang warga emas di Kilometer 8.7 Jalan Machang-Pasir Puteh, Machang hari ini. FOTO IHSAN POLIS

MACHANG – Gara-gara terlalu asyik melihat aplikasi Waze di telefon pintar, pemandu sebuah kereta merempuh seorang wanita warga emas yang sedang menunggang motosikal sehingga maut dalam kejadian di Kilometer 8.7 Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Kampung Belukar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, mangsa, Yah Awang, 63, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diseret sejauh 20 meter sebelum tercampak ke bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, seorang tukang masak berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Bezza sedang dalam perjalanan dari Kuala Besut, Terengganu menuju ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai sedang melihat aplikasi Waze pada telefon pintarnya yang diletakkan di atas paha untuk melihat laluan ke HSIP.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, tukang masak itu dipercayai tidak menyedari kereta dipandunya masuk ke bahu di sebelah kiri jalan. Keadaan itu menyebabkan pemandu kereta itu terkejut sebelum merempuh motosikal ditunggang Yah yang berada di laluan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Mohd. Adli, warga emas itu kemudiannya diseret sejauh 20 meter lalu tercampak ke bahagian kiri jalan menghala ke Machang dan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang di sini untuk bedah siasat. Siasatan mendapati nahas berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang memandu sambil menggunakan telefon pintar dan tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan,” katanya.

Tambah Mohd. Adli, tukang masak itu kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI