fbpx

Kerajaan perlu pastikan kos sara hidup terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan harus mengambil langkah lebih proaktif untuk memastikan kos sara hidup di bandar kekal terkawal dan berpatutan.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, industri juga perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan barangan dan perkhidmatan dengan harga munasabah, sementara rakyat harus bijak menguruskan kewangan dan membeli barangan berkualiti dengan harga berpatutan.

“Adalah menjadi satu cabaran serius apabila harga barangan dan perkhidmatan meningkat dengan ketara dalam tempoh yang singkat, meninggalkan kesan teruk kepada golongan kurang berkemampuan, khususnya golongan B40.

“Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan, industri dan rakyat Malaysia untuk bekerjasama dalam menghadapi cabaran ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya rancangan Menu Rahmah yang diperkenalkan, ia bersifat pelan jangka masa pendek untuk meringankan beban hidup rakyat.

“Saya ingin bertanya, apakah rancangan jangka panjang kerajaan dalam memerangi masalah inflasi ekonomi yang semakin tinggi bagi mengatasi isu kos sara hidup terlalu tinggi di bandar,” katanya.

Berhubung kesusahan rakyat dalam aspek pemilikan rumah berkualiti dan mampu dimiliki, beliau berkata, difahamkan masih ramai warga kota Kuala Lumpur golongan B40 masih menunggu dalam sistem permohonan untuk menyewa rumah kos rendah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya ingin bertanya apakah usaha-usaha kerajaan untuk menangani masalah tempoh menunggu yang terlalu lama. Apakah rancangan membina rumah-rumah kos rendah bagi membantu golongan B40 ini masih diteruskan?

“Menurut Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 PropertyGuru Malaysia, 51 peratus responden menyatakan mereka tidak layak memohon skim perumahan mampu milik kerajaan dan tidak mampu untuk membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.

“Malah keadaan menjadi teruk apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik sebanyak 25 mata asas pada 3 November iaitu kenaikan kali keempat berturut-turut bagi tahun lepas dan menjadikan kadar OPR sekarang adalah 2.75. Keadaan ekonomi yang belum pulih berserta dengan inflasi telah menjadikan isu pemilikan rumah golongan B40 sukar tercapai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan melaksanakan kembali Kempen Pemilikan Rumah (House Ownership Campaign) yang pernah dilakukan sebelum ini agar dapat membantu mereka yang ingin memiliki rumah sendiri.

Mengenai isu banjir kilat di Putrajaya, Mohd. Hisamudin mencadangkan supaya kolam takungan banjir ditambah, manakala yang sedia ada di dalamkan supaya aliran air dapat dilarikan dengan kadar lebih cepat bagi mengelakkan banjir kilat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI