PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ditukarkan sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Khairul Dzaimee ketika Majlis Paluan Berundur di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini petang ini.
“Saya menerima surat pertukaran 8.30 pagi tadi. Esok saya akan memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah BHEU. BHEU adalah bahagian amat penting kerana ia mengendalikan semua proses transformasi kerajaan yang berkait isu perundangan negara.
“Malah, isu besar yang dikendalikan BHEU ketika ini adalah berkait isu pindaan kewarganegaraan dan tuntutan waris Sulu terhadap Sabah,” katanya.
Menjawab soalan pemberita sama ada pertukarannya ke BHEU itu sudah dijangka dari awal, Khairul Dzaimee berkata, beliau sudah mendapat bayangan pertukaran sejak sebulan lalu.
“Ini kerana tempoh empat tahun sebagai Ketua Pengarah adalah sudah terlalu lama bagi sebuah jabatan yang ‘sensitif’ seperti JIM. Saya sudah bersedia untuk ditukarkan dan akan beri komitmen penuh di tempat baharu,” katanya.
Khairul Dzaimee mula menjawat jawatan Ketua Pengarah Imigresen sejak 14 Januari 2019 dan menjadi ketua pengarah paling lama berkhidmat di jabatan itu iaitu selama empat tahun dua bulan.
Kedudukan Khairul Dzaimee menjadi tanda tanya selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memperkenalkan Ruslin sebagai Ketua Pengarah Imigresen pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri.- KOSMO! ONLINE