YAN – Impian 1,500 penduduk di Kampung Dusun Durian Kelompok, Titi Teras di sini untuk meraikan sambutan Ramadan terjejas apabila mereka terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air bersih.
Lebih menyedihkan apabila masalah berkenaan telah berlarutan dan gagal diselesaikan sejak lebih 14 tahun lalu.
Penduduk mendakwa, bekalan air sering terputus dan tidak diberi perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab walaupun mereka kerap mengemukakan aduan terutama pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Seorang penduduk, Saad Sabu, 78, berkata, bekalan air bersih hanya dinikmati dalam tempoh lima tahun apabila paip air mula dipasang pada 2004.
“Selepas itu bekalan sering terputus sehingga menyukarkan kehidupan seharian terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.
“Bagi kegunaan mandi dan membasuh, kami terpaksa menggunakan air bukit, manakala untuk minum pula, kami perlu membeli air mineral,” katanya.
Bagi Shaber Serat, 53, pula, bekalan air sebelum ini masih boleh diperoleh pada lewat malam dan awal pagi berbanding beberapa tahun kebelakangan ini apabila air langsung tidak sampai ke rumah mereka.
“Saya terpaksa menggunakan pam untuk menyedut air dari parit kecil bersebelahan rumah sebelum menakungnya untuk kegunaan keluarga,” katanya.
Suri rumah, Mariam Majid, 56, berkata, setiap kali ketibaan Ramadan, dia sekeluarga berhadapan kesukaran kerana ketiadaan air.
“Selama ini kami bersabar kerana boleh menggunakan air bukit, tetapi masalahnya ialah sampai bila bekalan air bersih dapat disalurkan.
“Sedangkan bil bulanan sebanyak RM6 perlu dijelaskan penduduk dan jika gagal, meter air akan disita,” katanya.