SEREMBAN – Sebanyak 35 lokaliti termasuk taman perumahan di Zon Nilai terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula malam ini, manakala sebahagian tiga jalan di Putra Point terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula malam ini hingga 10 November 2020.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jalan yang terlibat dengan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh anggota keselamatan iaitu Jalan BBN 1/7A, Jalan BBN 1/7B, Jalan BBN 1/7E.
“Bagaimanapun, semua yang mempunyai kontak rapat dengan Kluster Kaya dan tinggal di asrama Jalan BBN 1/2E akan dipindahkan ke asrama di Jalan BBN 1/7B. Semua terlibat yang mempunyai kontak rapat dengan Kluster Kaya dan tinggal di asrama Jalan BBN 1/2E pula akan dipindahkan ke asrama di Jalan BBN 1/7B.
“Bagi penghuni di ketiga-tiga blok di Jalan BBN 1/7A, Jalan BBN 1/7B, Jalan BBN 1/7E mereka tidak akan dibenarkan keluar masuk di kawasan tersebut. Penghuni asrama di ketiga-tiga blok ini yang merupakan kontak rapat kepada Kluster Kaya tidak dibenarkan keluar daripada asrama masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Ujarnya, pasukan keselamatan akan mengawal kawasan tersebut selama 24 jam, malah semua aktiviti ekonomi, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut seperti yang dinyatakan di dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.
Sementara itu katanya, sebanyak 35 lokaliti dan taman terlibat di dalam PKPB termasuk kawasan perniagaan dan institusi di sekitar lokaliti tersebut.
“Antara kawasan perniagaan dan institusi terlibat termasuklah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai International School, Nilai University, Manipal University, INTI College, AEON Nilai, TESCO, Giant, Mesamall dan kawasan perniagaan Putra Nilai dan Putra Point dan Nilai Spring Golf and Country Resort,” katanya.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan PKPB akan dilakukan di zon Nilai, Negeri Sembilan berkuat kuasa 28 Oktober hingga 10 November ini.
Manakala PKPD juga akan dilaksanakan di Putra Point, Nilai dengan dua lokaliti iaitu tempat tinggal pekerja asrama yang dikesan menyumbang kes COVID-19. PKPD di Putra Point, Nilai itu akan bermula pada 28 Oktober hingga 10 November.
Dalam pada itu, Aminuddun menjelaskan, masjid dan surau di kawasan PKPB dibenarkan mendirikan solat jemaah lima waktu terhad kepada tiga orang sahaja iaitu imam, bilal dan siak.
“Azan akan dibenarkan untuk dikumandangkan manakala, solat Jumaat dibenarkan dengan 40 orang jemaah.
“Manakala, semua premis sosial dan pendidikan termasuk institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah pondok adalah ditutup,” katanya.
Tambahnya, kedai makan seperti restoran dan kedai serbaneka 24 jam, kedai termasuk gerai makan dan kedai runcit dan aktiviti perniagaan lain dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam.
“Pembelian makanan digalakkan secara penghantaran atau pandu lalu bermula 6 pagi hingga jam 8 malam. Bagaimanapun, ‘dine in’ dibenarkan terhad maksimum empat orang satu meja dengan penjarakan fizikal satu meter dan mematuhi SOP sektor makanan,” katanya.-K!ONLINE