PARIS – Ketua Jurulatih Perancis, Didier Deschamps percaya Kylian Mbappe mampu membawa penyatuan pengaruh dengan peranan baharunya sebagai kapten pasukan itu.
Mbappe, 25, merupakan calon paling tepat memakai lilitan lengan kapten Les Bleus menggantikan tugas penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris yang bersara selepas berakhirnya Piala Dunia Qatar 2022.
Bagaimanapun, timbul khabar angin mengatakan penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann kecewa dengan pelantikan itu kerana merasakan dirinya lebih layak kerana lebih senior berbanding Mbappe.
“Mbappe adalah kapten baharu Les Bleus, manakala Griezmann pula dilantik sebagai pembantu ketua pasukan. Tiada perbalahan kerana mereka berdua tahu peranan masing-masing.
“Saya membuat keputusan kerana Mbappe memenuhi kriteria untuk memikul tanggungjawab besar ini. Dia sentiasa membawa elemen penyatuan secara kehidupan berkumpulan di dalam dan luar padang,” kata Deschamps.
Penyerang prolifik Paris Saint-Germain (PSG) itu akan mengetuai rakan sepasukannya menghadapi aksi pertama kelayakan Kejohanan Euro 2024 menentang Belanda di Stade de France awal pagi Sabtu ini.
Kemudian, Les Bleus akan menghadapi aksi kelayakan kedua kempen Kumpulan B menentang Republik Ireland di Stadium Aviva, Dublin pada 28 Mac ini.
Bekas juara dunia dua kali pada 1998 dan 2018 itu dilihat tiada masalah untuk layak automatik ke Kejohanan Euro 2024 sebagai juara kelayakan Kumpulan B yang turut dihuni Greece dan Gibraltar. – AGENSI