GEORGE TOWN – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan telus mengenai rancangan dan tindakan yang diambil untuk mengurangkan potensi risiko projek Lebuh Raya Air Itam – Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu kepada penduduk setempat.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, walaupun projek itu bertujuan menambah baik aliran trafik di Pulau Pinang, namun kebimbangan telah dibangkitkan mengenai keselamatan projek jalan raya dan kesannya terhadap alam sekitar.
“Salah satu kebimbangan utama adalah zon penampan keselamatan antara jalan raya dan beberapa blok pangsapuri yang berada di kedua-dua belah jalan raya tersebut.
“Terdapat juga kebimbangan mengenai pelan kawalan hakisan dan sedimen, terutama pada musim hujan apabila aliran lumpur dan tanah runtuh mungkin berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat CAP, di sini hari ini.
Menurut Mohideen, adalah penting langkah keselamatan kejuruteraan diambil kira untuk mengelakkan sebarang kemalangan yang boleh membahayakan nyawa penduduk di beberapa apartment yang berada di kawasan itu.
“Semasa projek ini berlangsung, adalah penting bagi kerajaan negeri Pulau Pinang menangani kebimbangan ini dan mengambil langkah memastikan keselamatan penduduk dan alam sekitar adalah terjamin.
“Kami menggesa kerajaan negeri untuk memberikan maklumat yang jelas dan telus mengenai rancangan dan tindakan yang diambil untuk mengurangkan potensi risiko,” katanya. – KOSMO! ONLINE