fbpx

Sindiket lombong bitcoin curi elektrik digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan premis sindiket perlombongan bitcoin yang diserbu di Eco Ardence, Setia Alam. - Foto oleh SKANDAR SHAH MOHAMED / KOSMO!

SHAH ALAM – Kegiatan sindiket perlombongan bitcoin mencuri bekalan elektrik berjumlah RM240,000 sejak enam bulan lalu di Eco Ardence, Setia Alam di sini, terbongkar selepas digempur pihak berkuasa hari ini.

Dua premis yang menempatkan 90 mesin bitcoin itu dikesan melakukan sambungan haram dan pengubahsuaian meter di bangunan dua tingkat tersebut.

Tinjauan mendapati premis kosong di tingkat atas yang berkunci itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan beroperasi selama 24 jam.

Perkara itu bagaimanapun berjaya dihidu Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertindak menyerbu premis tersebut, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Ir. Md. Zakuan Ibrahim berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan pihaknya selama tiga bulan mengenai ketiadaan rekod bacaan meter hingga mengakibatkan kerugian kepada penyedia utiliti.

Katanya, pemeriksaan menyeluruh mendapati dua premis berasingan di kawasan itu masing-masing membuat sambungan secara terus dan mengubah suai meter bagi mencuri elektrik.

“Siasatan kemudian menemui 60 dan 30 mesin bitcoin bagi aktiviti perlombongan yang menggunakan bekalan elektrik berjumlah RM20,000 sebulan bagi setiap premis.

“Semakan lanjut turut mendapati satu daripada premis itu pernah dikenakan tindakan daripada TNB pada Mei tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Jelas Md. Zakuan, pihaknya sedang mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

“Perbuatan mencuri elektrik seumpama itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan memberi ancaman keselamatan kepada orang ramai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI