SEREMBAN – Penganjur bazar Ramadan di negeri ini diingat untuk memastikan peniaga-peniaga tidak menghalang laluan sehingga boleh mengganggu respons masa pihak bomba untuk ke lokasi kecemasan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Abdul Khair Osman berkata, penganjur juga perlu mengelakkan peniaga untuk berniaga ataupun meletakkan gerai di lokasi terdapatnya laluan kecemasan dan pili bomba.
“Saya harap penganjur atau pengurusan bazar Ramadan agar dapat memberi nasihat kepada peniaga-peniaga agar tidak berniaga di lokasi laluan jentera bomba dan lokasi berdekatan pili bomba.
“Sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan kemalangan ia akan mengganggu pergerakan penguatkuasaan. Sekiranya berlaku, tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita sempena selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Sembilan di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 di sini, hari ini.
Sehubungan itu juga beliau menambah, pihak bomba akan melakukan pemantauan dan kempen bagi memastikan peniaga bazar Ramadan dapat mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini berlaku.
“Selain pemantauan, kami juga mahu memastikan peniaga yang memasak menggunakan api terbuka dan penggunaan gas mengetahui cara untuk memberi respon lebih awal sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.
“Melalui kawal selia sendiri atau ‘self- regulatory’ ini peniaga akan dapat mengawal kebakaran yang berlaku terlebih dahulu,” katanya lagi.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, pihaknya turut menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa anggota JBPMNS yang terlibat dalam dua operasi memadamkan kebakaran baru-baru ini selain kepada tiga orang anggotanya yang turut serta dalam operasi penyelamatan mangsa gempa bumi di Turkiye. – KOSMO! ONLINE