PETALING JAYA – Sebuah video meraih perhatian pengguna media sosial apabila sekolah tersebut membuat sesi suai kenal bersama ‘mak cik kantin’.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @ckzlinazali, kelihatan kesemua mak cik berkenaan memegang nama masing-masing sambil berjalan di atas pentas.
“Minggu ini ‘ice-breaking’ dengan mak cik kantin. Murid pun perlu kenal takut tertukar dengan cikgu. Maklumlah semuanya cantik-cantik belaka,” tulisnya dalam kapsyen video itu.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat 698,100 tontonan, 39,300 tanda suka dan 6,742 perkongsian.
Menjengah ke ruangan komen, Kosmo! mendapati ramai yang berpendapat bahawa usaha pihak sekolah adalah sesuatu yang harus dipuji.
“Bagus betul. Tidak lah budak-budak meremehkan mana-mana individu dalam sekolah,” komen Puteri.
“Kadang-kadang itu idea tidak dijangka, dulu hanya perkenalkan guru-guru sahaja. Tetapi ada yg tertinggal, semua penting untuk keselamatan anak-anak,” komen Shah.
“Bagus idea luar kotak, sekali gus menghargai segenap lapisan yang bergelar warga sekolah. Tahniah,” komen seorang pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE