KUALA LUMPUR – Penglibatan pelbagai kementerian, agensi, ahli akademik dan pemain industri perlu diadakan dalam membantu menghasilkan bekalan makanan haiwan tempatan bagi keterjaminan makanan di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan itu mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menggalakkan penggunaan makanan keluaran tempatan.
Katanya, negara ketika ini sedang berdepan cabaran lambungan harga serta sukar memperoleh makanan haiwan berikutan peperangan antara Rusia dan Ukrine ketika ini.
“Fokusnya, bagaimana kita boleh menanam dalam negara kita sendiri supaya kita dapat hasilkan bijirin untuk makanan haiwan, itu antara fokus yang dipersetujui oleh kita.
“Tetapi, dalam masa sama kita nak lihat kepada semua kajian lain yang seperti hasil alternatif yang dihasilkan dalam negara untuk makanan haiwan ada atau tidak.
“Bagaimana kalau kita nak tingkatkan jika kita nak tanam jagung, siapa yang boleh terlibat bersama dalam perkara ini dari segi penghasilan biji benih, penanaman, tanah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, setiap cadangan yang dibentang akan dibawa kepada sekretariat sebelum ia dilaksanakan.
“Kalau mereka ada, mereka boleh kemukakan cadangan dan sekretariat akan menilai, bagaimana kita nak lanjutkan usaha sama itu nanti.
“Kalau mereka ada produk, sistem baik dan alternatif kepada makanan haiwan sudah pasti ia memerlukan kajian lanjut untuk mengabsahkan apa yang ada di pasaran sekarang,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil mesyuarat yang diadakan pada hari ini akan dibawa pada satu mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April atau Mei nanti.
Dalam mesyuarat terbabit, lima fokus menjadi tumpuan antaranya Kertas Pembentangan Khas Struktur Tadbir Urus Sekuriti Makanan Negara, Inisiatif Quickwins Pemantapan Produktiviti Bekalan Makanan Negara oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kertas Pertimbangan bagi Pelaksanaan Program Pengawasan serta Intervensi Bekalan termasuk Pemasaran Agromakanan (SISDA) oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). – KOSMO! ONLINE