fbpx

Jutawan Filipina, Frank Lao ambil alih 35 peratus kepentingan ZUS Coffee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JANICA (dua dari kanan) dan Ian Chua (dua dari kiri) bergambar bersama setelah menandatangani perjanjian pembelian saham ZUS Coffee.

KUALA LUMPUR – Jutawan Filipina, Frank Lao, yang merupakan individu di sebalik dua francais restoran paling terkenal di Filipina, Choi Garden dan Gloria Maris, mengembangkan lagi portfolionya dengan melabur dalam ZUS Coffee, jenama kopi Malaysia yang berasaskan teknologi.

Ketua Pegawai Operasi Choi Garden, Janica Lao, telah menandatangani perjanjian untuk membeli saham sebanyak 35 peratus dalam ZUS Coffee.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Malaysia minggu lepas.

Perjanjian itu turut ditandatangani oleh pengasas bersama ZUS Coffee, Ian Chua.

Frank Lao sebelum ini membeli restoran makanan laut Gloria Maris dan Hai Kang di Greenhills pada tahun 2020. 

Janica menerajui pengembangan kumpulan Choi Garden, selepas berjaya melancarkan restoran Sepanyol Perro Chikko, Teh Susu Boba Girl dan Beard Papa’s.

Janica berkata, kumpulan Choi Garden berhasrat untuk berkembang di Filipina dan ZUS Coffee merupakan integrasi yang sesuai untuk perancangan mereka.

“Kami berhasrat untuk memperkenalkan ZUS Coffee kepada Filipina. ZUS Coffee tidak berniat untuk menjadi francais, kesemua kedai mereka dimiliki oleh syarikat itu, dan mereka berhasrat untuk menjadi juara jenama tempatan. 

“Pengembangan ZUS Coffee di Malaysia sangat pantas dalam tiga tahun ini dan mereka beriltizam untuk memenuhi pasaran Malaysia dengan perisa tempatan. Kami percaya mereka akan melakukan perkara yang sama di pasaran Filipina,” katanya.

ZUS Coffee menawarkan kopi ‘specialty’ yang konsisten dan berpiawaian tinggi. 

Dengan menggunakan bahan-bahan dan teknologi berkualiti tinggi, dan juga model perniagaan yang inovatif, ZUS Coffee berdedikasi untuk menghasilkan kopi ‘specialty’ yang harga berpatutan untuk semua orang.

ZUS Coffee membuka kedai pertamanya di Malaysia pada tahun 2019. 

Kini, ZUS Coffee memiliki 197 outlet di seluruh negara, dengan penjualan kopi yang mencecah 30 juta cawan.

Jenama kopi tempatan itu telah berkembang pesat di Malaysia dengan model perniagaan inovatifnya yang menawarkan produk berkualiti dengan harga yang berpatutan, kafe moden ‘insta-worthy’, serta dilengkapi dengan aplikasi pesanan dan penghantaran.

Lebih 1.5 juta individu telah memuat turun aplikasi itu setakat 20 Mac 2023, dan pada masa ini terdapat lebih 800,000 pengguna aktif setiap bulan.

Sementara itu, Ian Chua berkata, ZUS Coffee sedang berusaha untuk meningkatkan bilangan pengguna aplikasi melalui pelbagai bentuk promosi.

“Kami mempunyai beberapa insentif di aplikasi kami bagi menggalakkan pelanggan mencuba kopi kami serta memberitahu saudara-mara dan rakan-rakan mereka mengenainya,” katanya.

Ian Chua menambah, syarikat itu mahu membuka 150 outlet di kawasan strategik di sekitar Malaysia tahun ini.

“Kami optimis tentang pasaran kopi dan pengembangan syarikat kami. Kami sangat berterima kasih dengan ZUSsies dan pekerja tempatan kami atas semua pencapaian kami setakat ini. 

“Kami mendapati semakin ramai orang menyukai kopi kami, dan mereka meminta kami membuka lebih banyak cawangan dan untuk mempelbagaikan menu makanan kami. Kami akan memperkenalkan makanan panas untuk memenuhi selera mereka,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI