TAPAH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak mengedarkan sebanyak 290,000 biji telur ayam bagi keperluan dalam negeri dalam tempoh empat bulan sejak Disember lalu.
Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, bekalan telur tersebut diperoleh daripada pengusaha tempatan termasuk pembekal di Melaka.
Katanya, setakat ini, bekalan telur ayam di Perak mencukupi terutama bagi menampung keperluan dan permintaan tinggi orang ramai ketika Ramadan dan Syawal ini.
“Biasanya permintaan telur ayam ketika Ramadan dan Syawal akan menjadi dua kali ganda. Namun, setakat ini kita dapati bekalan telur ayam adalah mencukupi. Jika ada keperluan, kita sedia gerakkan logistik untuk mendapatkan bekalan dari negeri lain.
“Kita pun memang ada ambil bekalan telur ayam dari negeri lain contohnya dari Melaka,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Ramadan Madani di Pasar Tani Tapah, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE