fbpx

Inkues Baby Syifaa : Waris serah baju, seluar mangsa selepas dua bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saksi ke-20, Meei Chyi (kanan) pada prosiding inkues kematian 'Baby Syifaa' di Mahkamah Koroner hari ini. - Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!

SEREMBAN – Saksi ke-20 prosiding hari kelima inkues kematian ‘Baby Syifaa’ memberitahu Mahkamah Koroner bahawa baju dan seluar dipakai bayi perempuan berusia 15 bulan itu telah diserahkan kepada pihak polis selepas dua bulan kematiannya.

Pegawai Turus Bahagian Jenayah Seksual, Wanita Dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Superitendan Chong Meei Chyi berkata, beliau telah mengambil pakaian Nour Rania Asyifaa atau ‘Baby Syifaa’ di rumah ibu bapanya di Sendayan, di sini pada 8 April 2022.

Meei Chyi di hadapan Koroner Datin Surita Budin berkata, beliau membuat rampasan pakaian tersebut kerana telah dimaklumkan waris bahawa pakaian mangsa masih berada di bawah kawalannya.

Ketika ditanya Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Badius Zaman Ahmad, adakah itu merupakan prosedur biasa memandangkan barang kes hanya dirampas selepas dua bulan.

Meei Chyi menjelaskan, ia bukan prosedur biasa tetapi sebagai pegawai pemantau atau penyelia dalam kes itu beliau hanya mengetahui perkara berkenaan setelah dimaklumkan oleh pihak waris.

“Waris ada beritahu yang pegawai penyiasat kes tidak buat rampasan dari mereka dan saya sebagai pegawai pemantau yang terima maklumat ini telah bertindak membuat rampasan untuk siasatan lanjut. Saya tidak terlibat dalam siasatan tetapi memberi bantuan kepada pegawai penyiasat kes,” katanya.

Peguam mewakili keluarga Syifaa, Gaithri Thomas turut mempersoalkan perkara sama kerana katanya, menjadi tugas pegawai penyiasat untuk mengambil barang kes secepat mungkin dan bukannya menunggu sehingga dua bulan.

“Apakah alasan diberi oleh pegawai penyiasat kenapa dia tidak mengambil pakaian itu sendiri? Kenapa mengarahkan puan?” soalnya.

Meei Chyi berkata, beliau tidak pasti dan ketika menerima barang kes iaitu sehelai baju dan seluar berwarna merah jambu jenama OKBB ia dalam keadaan baik dan dimaklumkan masih belum dibasuh.

Sementara itu, saksi ke-21, pemilik dan pengasuh kedua taska, Nadzirah Ahmad Damanhuri, 30, berkata, pada hari kejadian dia terkejut dan panik apabila kakaknya, Khairulnisa Ahmad Damanhuri, 38, mendukung Nour Rania Asyifaa dan menjerit memaklumkan tentang keadaannya yang tidak sedarkan diri.

“Kemudian kakak letak Syifaa di atas lantai dan cuba tekan dadanya tetapi tiada tindak balas, saya terus suruh kakak bawa Syifaa ke hospital untuk selamatkannya,” katanya.

Nadzirah bertanggungjawab menjaga 12 kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun termasuk tiga transit manakala Khairulnisa menguruskan tiga orang bayi termasuk Nour Rania Asyifaa di bilik berasingan.

Jelas Nadzirah, selepas menguruskan anak asuhannya lebih kurang pukul 6 petang dia menjalankan rutih harian melakukan kerja pembersihan dan mencuci tiga ‘bouncer serta kain jaring buaian berwarna biru yang telah digunakan oleh Nour Rania Asyifaa pada hari kejadian.

“Masa itu Covid-19, jadi setiap hari kami akan basuh balik untuk kegunaan keesokan hari. Saya fikir Syifaa hanya pengsan dan pada awalnya tidak tahu kematian Syifaa ada kaitan dengan buaian,” katanya yang hanya mengetahui perkara sebenar daripada kakaknya ketika dalam perjalanan ke balai polis.

Prosiding kes bersambung esok dengan memanggil Nadzirah sekali lagi dan dua ahli kimia. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI