ESOK hari pertama umat Islam di Malaysia mula berpuasa. Teruja? Ya, sudah tentu teruja dan seronok diberi kenikmatan umur panjang dapat bersua kembali dengan Ramadan. Alhamdulillah.
Selepas setahun menanti, kedatangan Ramadan adalah momen yang paling ditunggu-tunggu ramai terutama untuk menikmati waktu berbuka bersama keluarga tersayang di kampung halaman.
Dalam keterujaan menyambut bulan mulia, satu perkara yang cukup sinonim tentunya penganjuran bazar Ramadan juga ditunggu-tunggu ramai.
Selain beberapa makanan yang selalunya hanya ‘kena’ dengan mood Ramadan, suasana membanjiri bazar bersama keluarga juga sebenarnya satu memori yang sentiasa mahu diulang saban tahun.
Cuma jangan pernah terlupa, adab perlu dijaga ketika pergi ke bazar. Adab yang bagaimana? Mari lanjutkan bacaan di bawah.
Sebenarnya sejak beberapa bulan lalu, ramai yang sudah menyuarakan keterujaan menanti bulan puasa dan seterusnya Hari Raya.
Maka berbondong-bondonglah ‘meme’ berkenaan bulan puasa dikongsikan pengguna media sosial, kebanyakannya lucu dan penuh satira, namun hakikatnya terkandung teguran serius buat semua.
Antara yang paling popular, sudah tentu ‘amaran’ agar tidak melakukan reunion atau jejak kasih di tengah-tengah jalan sehingga mengganggu laluan orang lain untuk bergerak di tapak bazar.
Memang tak dinafikan, bulan puasa selalu menjadi waktu terbaik untuk kembali bersua muka dengan saudara mara, rakan kampung dan sekolah selepas lama terpisah dek jarak, tetapi janganlah buat bazar Ramadan macam rumah sendiri pula.
Paling penting, hindari sikap boros ketika membeli juadah, jangan didorong nafsu sedangkan yang lapar cuma mata, bukan perut.
Bukan sekadar untuk pengunjung, teguran dan peringatan berhemat juga buat peniaga di bazar Ramadan ketika menjual menu kepada pelanggan.
Kalau tak pandai buat, jangan jual! Sudahnya nanti, meranapkan selera orang kalau menu yang dijual tidak sesedap mana, sehingga merosakkan identiti asal sesuatu makanan.
Sehinggakan ada yang memainkan peranan sebagai ‘aktivis makanan’ apabila tampil melindungi makanan-makanan bulan puasa seperti martabak dan tepung pelita daripada ‘dinoda’ peniaga yang sekadar berniaga, tetapi kualiti dan rasa langsung tidak dijaga.
Perlu ingat, berniagalah kerana niat yang betul. Bukan untuk mengaut untung semata-mata. Tak baik sakitkan hati orang lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia.
Akhir kata, semoga Ramadan kali ini diisi dengan santapan rohani yang mengenyangkan jiwa, agar dapat menambah bekalan untuk di sana kelak. Jangan sia-siakan peluang yang datang cuma setahun sekali ini.
Kutip pahala banyak-banyak, beratkan hari dengan amalan bermanfaat. Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari sebelumnya. Selamat berpuasa semua!