PETALING JAYA- Warga kota mencatatkan kes paling ramai dikompaun atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Wilayah Persekutuan mencatatkan 229 individu dikompaun atas kesalahan tersebut, diikuti Selangor (162) dan Perak (94).
Sehingga semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 612 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP.
“Daripada jumlah itu, seramai 604 individu telah dikompaun, manakala lapan lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (156), gagal mematuhi penjarakan fizikal (145), gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (134), aktiviti di pusat hiburan (96) dan lain-lain kesalahan (81),” katanya pada sidang akhbar harian di Kementerian Pertahanan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, 310 kenderaan telah diarah berpatah balik oleh anggota keselamatan di sekatan jalan raya (SJR) semalam atas pelbagai alasan pergerakan.
Antaranya cuba keluar dari lokaliti atau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan cuba merentas negeri yang sedang dilaksanakan PKPB tanpa kebenaran PDRM.
“Tiga negeri paling tinggi kenderaan diarah patah balik oleh SJR iaitu Sabah (201 kenderaan), Johor (64) dan Kuala Lumpur (45),” katanya. -K! ONLINE