Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
KEJOHANAN Pestabola Merdeka sah kembali dianjurkan pada Oktober depan dengan tiga negara rantau Asia seperti India, Palestin dan Lebanon menjadi pencabar Harimau Malaya pada edisi kali ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, penganjuran kali ini bersifatkan lebih kecil berbanding apa yang pernah dilakukan sebelum ini dengan menjadikan format Piala Raja Thailand sebagai contoh.
Kata Hamidin, hasrat untuk menganjurkan saingan Pestabola Merdeka sudah bermula sejak 2019, tetapi penganjuran terpaksa ditangguhkan susulan pandemik Covid-19 yang melanda pada tahun 2020.
“Saingan Pestabola Merdeka kembali dianjurkan pada tahun ini pada kalendar FIFA bulan Oktober. Kali ini kita akan menggunakan format seperti Piala Raja Thailand melibatkan tiga pasukan jemputan, India, Palestin dan Lebanon.
“Setiap pasukan akan beraksi dua perlawanan yang mana pemenang bakal bertemu di pentas final, manakala yang tewas akan bertemu pada aksi penentuan tempat ketiga.
“Ini adalah kali pertama Pestabola Merdeka dianjurkan sejak 2013 dan kami akan buat dengan skala kecil dahulu, tetapi ia masih cukup penting kerana menyumbangkan mata untuk ranking skuad kebangsaan,” katanya.
Hamidin ditemui pada sidang media Mesyuarat Exco FAM 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Mengulas lanjut, Hamidin mengakui kejohanan kali ini bakal berlangsung dengan meriah meskipun ia dianjurkan di luar bulan kemerdekaan pada Ogos seperti yang dilakukan pada sebelum ini.
Saingan Pestabola Merdeka bakal dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus menjadi pentas pertama untuk menguji padang yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia yang dijangka siap sepenuhnya pada September depan.