PETALING JAYA – Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Bajet 2021 yang akan dibentang pada sidang Parlimen minggu depan wajar mendapat sokongan penuh semua Ahli Parlimen.
Ujarnya, sokongan terhadap Bajet 2021 itu bukan soal kejayaan atau kegagalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini bukan soal kejayaan atau kegagalan Perdana Menteri, ia soal rakyat, sekiranya belanjawan ini gagal, ia merupakan kegagalan dan kerugian buat rakyat, bukannya terhadap Perdana Menteri.
“Oleh itu, komitmen dan sokongan daripada semua Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang wajar diterjemahkan dengan sokongan penuh kepada Perdana Menteri dalam menjunjung kasih terhadap titah Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja pada sidang yang akan bermula pada 2 November 2020 nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, sokongan terhadap Bajet 2021 menzahirkan muafakat antara kesemua Ahli Dewan Rakyat bagi menghapuskan rantaian Covid-18 serta memulihkan ekonomi.
Mengulas mengenai Agenda Pendamaian Nasional, Ahmad Jazlan berkata, ia membuktikan UMNO parti yang terbuka dalam merintis dan menunjangi perpaduan untuk semua tanpa mengira fahaman politik.
“Agenda ini secara langsung akan berupaya menghentikan polemik dan kecelaruan politik negara dari berterusan yang sama sekali tidak menguntungkan rakyat,” katanya. – K! ONLINE