LONDON – Bank-bank pusat segera campur tangan untuk mengekalkan aliran tunai selepas kegagalan dua bank Amerika Syarikat (AS) dan usaha penyelamatan Credit Suisse mencetuskan gelombang kejutan merentasi pasaran global, lapor Perbadanan Penyiaran Britain(BBC) semalam.
Enam bank pusat termasuk Bank of England mengumumkan akan meningkatkan aliran mata wang dolar AS mulai semalam dengan langkah sedemikian kali terakhir diambil semasa krisis kewangan pada 2008 dan semasa kemuncak pandemik Covid-19.
Perkembangan itu berlaku selepas Credit Suisse diambil alih oleh bank pelaburan UBS yang berpangkalan di Switzerland dalam perjanjian penyelamatan yang disokong oleh kerajaan.
Sementara itu, pasaran saham antarabangsan menjunam sejak Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank runtuh di AS baru-baru ini. Ia berikutan kebimbangan nasib sama akan menimpa bank-bank lain.
Dalam satu kenyataan Bank of England, Bank of Japan, Bank of Canada, Bank Pusat Eropah, Rizab Persekutuan AS dan Bank Negara Switzerland menyatakan bahawa pihak masing-masing melancarkan tindakan yang diselaraskan untuk menjamin aliran kredit.
Bank-bank pusat berkata, langkah itu untuk mengurangkan tekanan dalam pasaran pembiayaan global dan mengurangkan impak bekalan kredit kepada isi rumah dan perniagaan.
Daripada meminjam di pasaran terbuka, bank-bank Britain kini boleh mengemukakan permohonan pinjaman kepada bank England yang akan meminjam daripada Rizab Persekutuan AS.
Ia akan berfungsi dengan cara yang sama untuk bank-bank di zon mata wang euro, Kanada, Jepun, Switzerland dan AS manakala bank-bank akan dapat mengakses pembiayaan itu pada setiap hari.
Saham perbankan global merosot berikutan kegagalan SVB walaupun ada Presiden Joe Biden memberi jaminan bahawa AS akan melakukan apa sahaja perlu untuk melindungi sistem perbankan. – Agensi