PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima negeri sehingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan berkata, negeri-negeri yang terlibat adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Sabah.
“Di Kedah, kawasan yang dijangka mengalami cuaca buruk ini adalah Baling, Kulim dan Bandar Baharu manakala kawasan di Pulau Pinang pula adalah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Cuaca sama turut dijangka di Perak melibatkan kawasan Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar dan Hilir Perak manakala di Pahang hanya kawasan Jerantut sahaja terlibat,” katanya.
Tambahnya, di Sabah kawasan yang diramalkan cuaca buruk adalah Pedalaman (Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid dan Kinabatangan).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – KOSMO! ONLINE