KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan sedang mengagihkan peruntukan bantuan banjir sebanyak RM50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember lalu kepada sebahagian mangsa banjir.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bantuan banjir yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan itu akan diagihkan kepada mangsa banjir yang berpindah dan tidak berpindah.
Menurutnya, senarai penerima diperoleh selepas pihaknya mengadakan mesyuarat bersama ketua-ketua jajahan yang terlibat.
“Setakat ini, pihak JPP menyalurkan peruntukan kepada ketua-ketua jajahan sebanyak RM21.41 juta yang terdiri daripada RM12.3 juta untuk bantuan kepada mangsa yang berpindah dan RM9.1 juta kepada mangsa yang tidak berpindah.
“Selain itu, bantuan sebanyak RM30,000 telah diberikan untuk waris mangsa yang meninggal dunia semasa banjir seperti yang sudah dimaklumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Nazlan Mohamed Hasbullah (Pas-Limbongan) pada penggal kelima, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sebahagian daripada keseluruhan peruntukan itu sedang dalam proses pembayaran dan kebanyakan penerima bantuan di daerah Pasir Puteh dan Bachok sudah menerima bayaran tersebut. – KOSMO! ONLINE