SHAH ALAM – Isteri kepada aktor Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada bersedia untuk berpoligami sekiranya suaminya menggunakan saluran yang betul.
Menurut Shuhada atau nama penuhnya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, poligami akan menjadi sesuatu yang baik sekiranya suami mengikut sunah Rasulullah.
“Bagi saya, sekiranya seseorang suami mahu berkahwin lain sebaik-baiknya ikut sunah Rasulullah seperti berkomunikasi dengan baik, tidak melakukan perkara yang dilarang atau boleh mendatangkan dosa.
“Kalau caranya betul, saya tiada masalah untuk berpoligami malah tidak pernah lagi berjumpa pihak ketiga untuk melakukan provokasi seperti tarik rambut atau maki hamun.
“Sebaliknya, saya cuma terfikir mengapa dia mahu berkahwin dengan suami saya,” katanya kepada Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Ditanya sama ada dia boleh memaafkan orang ketiga, ibu dua anak itu menjelaskan dia hanya manusia biasa dan tidak menyimpan sebarang dendam.
“Maaf atau tidak, saya hanya manusia biasa. Saya akan cuba yang terbaik. Kalau berdendam sekali pun, saya bimbang tak dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang.
“Mengenai Hafidz pula, saya tidak menyimpan dendam. Bukan soal menang atau kalah, semua yang diperjuangkan adalah untuk maruah diri dan anak-anak,” katanya lagi.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 9 Mei depan bagi sebutan semula kes cerai Hafidz dan isterinya Shuhada berhubung isu lafaz cerai yang dibuat aktor berkenaan sebanyak dua kali.
Hakim Syarie Siti Rahman Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi pihaknya menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai itu.
Bagaimanapun, pihak mahkamah dimaklumkan terdapat isu baharu behubung isu cerai itu apabila Shuhada mendakwa suaminya pernah melafazkan cerai kali pertama pada 22 Januari lalu menerusi aplikasi WhatsApp.
Kes perceraian tersebut dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Shuhada juga dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz sah bercerai talak satu dengan kakaknya pada 22 Februari lalu yang mana lafaz ketika itu dibuat menerusi panggilan telefon.
Dalam prosiding hari ini, Hafidz diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir manakala Shuhada diwakili peguam Nurfarhana Abd. Manaf.
Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.
Pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.
Pelakon drama Tundukkan Playboy itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.
Mengikut pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk isterinya menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Mahkamah kemudian membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 selain turut memerintahkan dia dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri. – KOSMO! ONLINE