PETALING JAYA – Isteri pertama kepada pengarah Syamsul Yusof, Puteri Sarah berlapang dada dan sedia berjuang berhubung tuntutan nusyuz yang dikatakan bakal difailkan suaminya itu, hari ini.
Kata Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dia tidak tahu-menahu tentang tuntutan yang bakal dilakukan Syamsul namun sedia terus berjuang demi nasibnya sebagai seorang isteri.
“Saya pun tak tahu apa-apa. Tunggu sahajalah apa tindakan dan dakwaan dia petang nanti.
“Nak kata saya isteri derhaka apa semua, saya tak boleh komen panjang. Kita tunggu apa dia nak buat selepas ini sebab sekarang saya sedang sibuk bekerja (shooting) cari duit sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Jelas pelakon drama rantaian Andai Itu Takdirnya lagi, lawan tetap lawan dan dia akan terus berjuang mempertahankan nasibnya sebagai seorang isteri.
“Selepas apa yang berlaku petang ini, baru saya akan buka mulut. Buat masa sekarang, kita tengok sahaja apa permainan dia.
“Minta doakan semua urusan dipermudahkan dan semoga keadilan berpihak kepada mereka yang berhak dan benar,” katanya lagi.
Difahamkan, petang ini, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof akan memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah, 38.
Terdahulu, Syamsul, 39, enggan menceraikan isterinya, Puteri Sarah ketika prosiding sebutan kes di Mahkamah Rendah Syariah, baru-baru ini.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Kemelut rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara tersebut.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji apabila ‘meletak titik noktah’ berkaitan teka-teki hubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand. – KOSMO! ONLINE