KANGAR – Kerajaan negeri menyeru masyarakat supaya membantu menyemarakkan lagi sektor pelancongan melalui konsep pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang memberi manfaat dan janaan ekonomi secara langsung kepada mereka.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri dalam rangka tindakan untuk menganjurkan Tahun Melawat Perlis 2024 berlandaskan kepada Tahun Melawat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
“Matlamat utama TMP 2024 dan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 adalah untuk menarik pelancong bagi menerokai pengalaman melancong di negeri Perlis.
“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan dan menggalakkan semua pihak untuk mengadakan aktiviti atau program bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Perlis,” katanya selepas melancarkan prapelancaran TMP 2024 di Kompleks Setiausaha Kerajaan di sini semalam.
Menurutnya, seramai 2.99 juta pelancong direkodkan berkunjung ke Perlis pada tahun lalu dan jumlah itu meningkat dari tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE