KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Darat (PTD) ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain menyifatkan pengalaman menguruskan anggota Tentera Darat Malaysia sepanjang berhadapan pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang luar biasa dan akan diingat menjelang persaraannya.
Mengimbau kembali perkara tersebut, Zamrose berkata, beliau amat berbangga kerana dapat membantu kerajaan menangani isu tersebut dengan jayanya.
Kata beliau, pengalaman tersebut disifatkan sebagai luar biasa bagi dirinya kerana menjadi PTD yang pertama melalui detik-detik yang penuh dengan cabaran itu.
“Tentera darat (pada masa itu) banyak menyumbang ketika Covid-19 menerusi Op Penawar, Ops Benteng dan banyak lagi sumbangan lain dari tentera darat .
“Kita sangat harapkan perkara seperti ini (Covid-19) tidak berlaku lagi di masa akan datang, namun saya bangga keseluruhan anggota tentera darat telah menunjukkan perkhidmatan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-28 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.
Perbarisan yang berkonsepkan Perbarisan Istiadat dengan melibatkan 12 detasmen gabungan itu diadakan sebagai penghargaan dan penghormatan terakhir kepada Zamrose yang akan mula bercuti pada 23 Mac 2023 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 21 September 2023.
Turut hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia,Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Haji Ahmad.
Tambah Zamrose, beliau berbangga dengan anggota tentera darat di bawah kelolaannya kerana mampu menunaikan segala tugas diberikan tanpa sebarang alasan dan halangan.
“Apa sahaja tugas melibat angkatan tentera darat kita tetap tunaikan, tidak kira perkara tersebut sesuai dengan tugas sebenar sama ada bina jambatan atau menyelamat di Batang Kali, tentera darat tetap akan membantu.
“Saya berpuas hati dan sangat berterima kasih pada anggota tentera darat di bawah pimpinan saya kerana memberikan kerjasama sewkatu saya berkhidmat,” katanya.
Zamrose telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 24 Januari 1981 dan jawatan pertama beliau adalah Ketua Platun di Batalion Ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD), Kuala Lipis, Pahang.
Beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Tentera Darat Ke-28 bermula 11 Jun 2020 setelah mengambil alih tampuk pemerintahan Tentera Darat Malaysia daripada Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah Haji Mohd Nawawi (Bersara). – KOSMO! ONLINE.