KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan bonus sebanyak RM700 sempena Hari Raya Aidilfitri kepada semua penjawat awam di negeri ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada ucapan penutup penggal kelima, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Menurut Ahmad, bonus pada jumlah yang sama turut diberikan kepada kakitangan awam lantikan politik sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum-sebelum ini.
“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menaikkan elaun penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500.
“Sehubungan itu, tahniah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah membawa setiap permasalahan rakyat di tempat masing-masing ke sidang DUN Kelantan,” katanya.
Menurut Ahmad, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab ADUN untuk mengemukakan suara rakyat dalam dewan dan kesemua fakta telah mendapat perhatian. – KOSMO! ONLINE