BACHOK – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok menahan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan ketika dia sedang khayal pil kuda dalam Ops Cegah di sebuah rumah di Kampung Kandis semalam.
Ketua Pegawai AADK Bachok, Zulkipli Muhammad berkata, lelaki berusia 41 tahun itu merupakan salah seorang daripada tujuh penagih dadah yang dicekup sewaktu serbuan dari rumah ke rumah di sekitar daerah ini oleh enam anggota bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang semalam.
Menurutnya, dalam serbuan di rumah berkenaan, anggota AADK menahan OKU itu bersama jirannya yang berusia 23 tahun dan seorang remaja berusia 15 tahun.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka bertiga positif dadah jenis methamphetamine dipercayai kesan pengambilan dadah jenis pil kuda.
“Jiran OKU dan remaja terbabit telah bertindak melarikan diri, namun percubaan mereka gagal apabila anggota AADK berjaya menghidu pergerakan mereka, ” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pejabat AADK di sini hari ini.
Zulkipli berkata, anggota ADDK terpaksa memimpin tangan OKU berkenaaan untuk ujian saringan air kencing sebelum dia dibawa ke pejabat untuk proses dokumentasi.
Katanya, siasatan lanjut mendapati OKU berkenaan mula mengambil dadah sejak dua tahun lalu selepas dibuang oleh keluarganya yang tinggal di Gua Musang kerana tiada pekerjaan tetap.
“Dia kini tinggal bersama ibu saudaranya di daerah ini. Sebelum ini, dia pernah bekerja di sebuah syarikat pengangkutan di Pulau Pinang dan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kedua-dua saraf matanya rosak empat tahun lalu.
“OKU itu mengakui dia melepaskan gian dengan mengambil pil kuda dengan bantuan jirannya,” katanya.
Kesemua penagih yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – K! ONLINE