fbpx

Sidang DUN Perak lulus usul Peterana Diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR

IPOH – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan usul untuk menempatkan Peterana Diraja atau bangku tempat duduk buat raja di dalam DUN Perak yang dikhususkan untuk Sultan dan Raja Permaisuri Perak.

Usul tersebut diluluskan tanpa dibahaskan selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli-ahli dewan.

Terdahulu, usul berkenaan dibawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang disokong oleh Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan).

Ketika membentangkan usul menjunjung kasih dan menyembah taat setia, Ahmad Faizal berkata, DUN Perak mencipta sejarah dengan mengambil langkah memartabatkan kedudukan institusi diraja.

Menurutnya, hal ini bagi memastikan institusi diraja sentiasa berada di tempat yang paling tinggi, selayaknya dengan peranan baginda sebagai payung negeri.

Beliau berkata, untuk itu pembaharuan yang diambil ialah dengan menetapkan Peterana Diraja dikhususkan untuk kegunaan Sultan dan Raja Permaisuri Perak berkuatkuasa serta merta.

“Menelusuri sejarah DUN Perak sejak persidangan pertama pada tahun 1948, sehingga kini, DUN negeri telah bertapak di tiga tempat yang berbeza.

“Namun, tiada pengkhususan kegunaan Peterana Diraja. Sejajar dengan pelbagai pembaharuan yang dilakukan secara berterusan oleh DUN Perak, ia pasti akan lebih bermakna dengan memartabatkan kedudukan Sultan dan Raja Permaisuri Perak pada kedudukan yang paling tinggi di dalam Dewan Negeri,” katanya dalam sidang DUN Perak di sini hari ini.

Untuk rekod, setiap kali pembukaan Persidangan DUN Perak, Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak akan ditempatkan di Peterana Diraja dalam dewan.

Selepas majlis perasmian,  Speaker DUN Perak akan ditempatkan di lokasi sama sepanjang persidangan berlangsung.

Selepas ketetapan terbaharu hari ini, kedudukan Speaker akan berada di bawah Peterana Diraja. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI