ALOR SETAR – Fenomena La Nina lemah yang melanda utara Semenanjung ketika ini memberi kesan terhadap masalah bekalan air yang sememangnya dalam keadaan kritikal di Kedah.
Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan memaklumkan, cuaca kering dan taburan hujan berkurangan sejak sebulan lalu menyebabkan sumber air mentah yang diperoleh dari Gunung Jerai berkurangan.
Katanya, rekod menunjukkan penurunan mendadak pengeluaran air terawat sehingga 50 peratus di loji ‘Headworks’ iaitu di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, LRA Merbok, LRA Gurun serta LRA Pulau Tuba di Langkawi.
“Keadaan itu turut menyebabkan sumber air mentah dari Sungai Muda yang membekalkan air mentah ke LRA Sungai Petani dan LRA Pinang Tunggal mengalami paras penyusutan.
“Buat masa ini SADA telah memasang empat pam angkat rendah bagi membantu mengepam air mentah yang sedia ada untuk membolehkan loji terus beroperasi,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, situasi tersebut sekali gus menyebabkan kolam imbangan dan kolam simpanan berada pada paras minimum.
“Rentetan itu, beberapa kawasan di daerah Kuala Muda telah mengalami gangguan bekalan air antaranya di Semeling, Merbok, Tanjung Dawai, dan Singkir.
“Begitu juga di Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Bukit Bayu, Taman Semarak Fasa 2, Harvard dan Sungai Toh Pawang,” ujarnya.
Katanya, pelbagai kaedah telah dicadangkan untuk mengatasi masalah itu dalam usaha untuk mengurangkan beban pengguna terjejas.
“Tindakan segera adalah melalui penghantaran lori tangki air secara berjadual yang dilaksanakan,” jelasnya.
Kalangan pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah dalam melakukan aktiviti harian, khususnya sepanjang musim kemarau yang dijangka berlarutan bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan.
“Sebagai syarikat operator air negeri, SADA memahami kesulitan dihadapi oleh pengguna dan sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memastikan isu gangguan bekalan air dapat diselesaikan dan tidak berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE