LIPIS – Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan tiada keperluan untuk menutup operasi kantin semasa bulan Ramadan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, adalah tidak wajar memaksa murid-murid untuk berpuasa sekiranya melihat ada rakan-rakan mereka yang beragama Islam melakukan ibadat tersebut.
“Dalam konsep Malaysia Madani, kita hendaklah bersifat inklusif menghormati bulan Ramadan, jadi kita perlu memaklumkan pada anak-anak bahawa Ramadan merupakan bulan ibadat.
“Dalam masa yang sama proses untuk memahamkan (murid) yang lain itu juga harus bermula, tetapi tidak bermakna mereka harus dipinggirkan dan tidak ada ruang untuk anak-anak makan.
“Jadi untuk pelajar bukan Islam juga perlu diberi ruang bagi mengikuti ibadat ini, tetapi pada masa yang sama perlu disokong dan disantuni oleh pihak sekolah,” katanya semasa Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Sempena Pengoperasian Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berpuas hati dengan program minggu pertama persekolahan yang dilihat berjalan lancar apabila pihak sekolah diberi kebebasan untuk melaksanakan aktiviti berasaskan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM bilangan lima 2023.
“Lawatan saya ke SMK RPS Betau menunjukkan pelajar Orang Asli amat ceria dan cukup berminat melaksanakan aktiviti yang dirancang oleh guru seperti permainan, riadah, senamrobik, kecergasan, sukaneka dan sukan.
“Aktiviti yang dilaksanakan mempunyai nilai pendidikan dan berinfomatif, secara langsung murid dapat belajar, memperoleh maklumat dan berkongsi pengetahuan baharu serta pembangunan sahsiah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE