KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia, Budi Doremi sedih apabila sahabat baiknya iaitu pelakon Kamal Adli tidak dapat hadir menonton persembahannya di konsert Dream Festival – Nidji X Budi Doremi yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam tadi kerana masih belum sembuh daripada kecederaan yang dialami.
Pada masa sama, Budi, 38, ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia turut terkejut dan bersimpati dengan insiden serangan yang menimpa Kamal di Singapura baru-baru ini dan berharap agar sahabatnya itu cepat sembuh.
Ujar Budi atau nama lengkapnya Syahbudin Syukur, Kamal sudah lama merancang untuk hadir ke konsert sulungnya di Malaysia, namun sebaliknya berlaku selepas pelakon itu diserang seorang individu tidak dikenali sehingga mengalami kecederaan serius.
“Saya memang sudah lama mengundang Kamal untuk datang ke konsert sulung saya di Malaysia. Kali terakhir kami berjumpa pada tahun lalu ketika saya mempromosikan lagu di sini,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambahnya lagi, Kamal ada mengirimkan pesanan mesej dan meminta maaf kerana tidak dapat hadir atas sebab belum diberi keizinan untuk keluar dari rumah.
Dalam nada kesal, Budi turut menyatakan hasratnya untuk melawat Kamal memandangkan pelakon itu merupakan antara sahabat baiknya di Malaysia.
Bagaimanapun, jadual kerjanya yang padat membataskan hasrat tersebut.
“Saya nak sangat melawat Kamal kerana dia antara sahabat baik saya di Malaysia. Namun jadual kerja saya sangat padat sehingga membataskan waktu untuk saya bertemu dengannya.
“Saya berkawan dengan Kamal selama 10 tahun dan sepanjang mengenalinya, Kamal merupakan seorang sahabat yang baik dan tidak memiliki musuh.
“Insiden serangan yang berlaku ke atasnya di Singapura baru-baru ini memang sangat mengejutkan saya,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Dream Festival – Nidji X Budi Doremi, malam tadi.
Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Budi mendendangkan 10 buah lagu popularnya seperti Tolong, Melukis Senja, Tak Kan Hilang dan Mesin Waktu.
Lebih menghiburkan penonton apabila Budi turut menyanyikan lagu popular Yuna, Terukir Di Bintang bersama Aisha Retno yang turut dijemput sebagai penyanyi untuk sesi pembukaan.
Konsert yang berlangsung dengan kehadiran kira-kira 1,500 penonton malam tadi turut dihangatkan dengan persembahan Nidji yang menyanyikan 12 lagu popularnya seperti Bila Aku Jatuh Cinta, Sumpah dan Cinta Matiku, Teroesir serta Hapus Aku. – KOSMO! ONLINE