GUA MUSANG – Keberanian dua pelajar lelaki tingkatan empat menyelamatkan dua rakan yang lemas di Sungai Kombat, Felda Perasu pada 9 Februari lalu mendapat pengiktirafan apabila mereka menerima penghargaan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Muhammad Alwi Mustafa Kamal dan Ahmad Faqih Syazani Mohd. Zainal masing-masing berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Ugama (SMU) At-Taqwa Chiku 2 menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo Sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 di IPD Gua Musang hari ini.
Muhammad Alwi berkata, dia terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh IPD Gua Musang itu kerana menghargai pertolongan yang diberikan mereka kepada dua rakan yang lemas.
Katanya, sijil penghargaan itu memberi semangat kepadanya untuk terus membantu masyarakat setempat.
“Saya tidak menyangka akan menerima penghargaan ini kerana ikhlas membantu dua rakannya itu disebabkan nyawa mereka dalam bahaya,” katanya ketika ditemui di IPD Gua Musang di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faqih Syazani pula berkata, dia berterima kasih kepada pihak IPD Gua Musang yang memilih dia dan Muhammad Alwi sebagai penerima sijil penghargaan sempena Sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 .
“Sehingga kini, kami berdua masih teringat tragedi lemas yang mengorbankan seorang rakan dan hanya dua nyawa yang kami dapat selamatkan.
“Dalam kegembiraan ini, terselit juga rasa sebak apabila mengingatkan kepada yang rakan yang sudah tiada kerana tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Dalam kejadian 9 Februari lalu, Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori lembam dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kombat, Felda Perasu, bersama empat lagi rakannya.
Muhammad Fakhrul Imam dari Felda Chiku 2 di sini dibawa ke Klinik Desa Felda Perasu dan disahkan telah meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang. – KOSMO! ONLINE