KOTA BHARU – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan memberi penghargaan kepada seorang peniaga yang sering membantu pasukan keselamatan setiap kali operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas semasa banjir.
Abdul Ghani Mohammad, 45, menerima penghargaan itu daripada Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di IPK Kelantan di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata, dia tidak pernah berhasrat untuk menerima anugerah itu meskipun kerap menyertai SAR semasa banjir secara sukarela sejak tujuh tahun lalu.
“Setiap kali dimaklumkan kes lemas di Machang, saya akan menghulurkan bantuan. Begitu juga dengan operasi memindahkan mangsa banjir.
“Apabila menerima penghargaan, saya rasa bersyukur dan terharu. Selepas ini, saya akan lebih bersemangat untuk membantu masyarakat,” katanya selepas menerima sijil penghargaan di IPK Kelantan di sini hari ini.
Menceritakan pengalaman terlibat SAR, Abdul Ghani memberitahu, dia pernah ‘berkampung’ selama empat hari di Sungai Kelantan dekat Pangkalan Haji Mustapa, Kampung Paloh Rawa pada 25 Januari lalu.
“Meskipun operasi mengambil masa empat hari sebelum mangsa ditemui, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencarinya sehingga dijumpai,” ujarnya.
Dalam kejadian 25 Januari lalu, seorang buruh ditemui lemas selepas bot pancung yang dinaiki bersama bapa saudara dan rakannya terbalik selepas tersangkut pada tali sebuah feri di Sungai Kelantan.
Mangsa, Hisyamuddin Che Zulkifly, 23, dijumpai lemas pada jarak 23 kilometer dari lokasi bot yang dikemudinya terbalik, manakala bapa saudaranya, Mohd. Subry Che Ahmad, 39, dan rakan, Muhamad Riduan Hatta, 23, sempat menyelamatkan diri. – KOSMO! ONLINE