Oleh OTHMAN YAHAYA
SUNGAI PETANI – Dua individu termasuk seorang eksekutif pentadbiran sebuah syarikat swasta di Gurun dekat sini ditahan kerana disyaki menerima habuan lebih RM30,000 daripada syarikat katering pada tahun lalu.
Lelaki berusia 36 tahun yang merupakan eksekutif pentadbiran syarikat tersebut ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sungai Petani kira-kira pukul 6 petang semalam.
Turut ditahan ialah seorang wanita berusia 49 tahun yang merupakan bekas penyelia syarikat berkenaan.
Suspek wanita dibawa ke Mahkamah Sungai Petani di sini hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Sementara proses permohonan reman bagi suspek lelaki yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kerana mengalami masalah kesihatan dijalankan di hospital tersebut.
Penolong Pendaftar mahkamah berkenaan, Dalilah Ismail membenarkan suspek wanita dan lelaki masing-masing direman selama sehari dan dua hari bermula hari ini.
Suspek wanita turut dibawa ke HSAH dengan ambulans selepas proses permohonan reman selesai setelah dia mengadu sakit pada bahagian dada.
Kedua-dua suspek didakwa menerima habuan daripada sebuah syarikat katering sebanyak RM2,000 secara bulanan pada tahun lalu dengan jumlah keseluruhan yang diterima lebih RM30,000.
Perbuatan tersebut adalah sebagai balasan bagi memastikan dan memilih syarikat katering itu untuk majlis-majlis yang diadakan di syarikat mereka bekerja.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE