SHAH ALAM – Hari pertama pembukaan sesi persekolahan bertukar malang bagi seorang pelajar perempuan apabila kakinya tersepit 20 minit pada besi penutup longkang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu menimpa mangsa berusia 16 tahun yang berjalan di sekitar kawasan sekolah tersebut.
Pelajar Tingkatan Empat itu bagaimanapun tidak menyedari keadaan penutup longkang yang agak besar lalu kaki kanannya terperosok di longkang sedalam satu meter.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.08 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kaki pelajar perempuan itu masih tersepit pada besi penutup longkang tersebut.
“Anggota bomba kemudian berjaya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Morni, kejadian itu tidak menjejaskan sesi persekolahan tersebut.
“Pelajar itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Kaki mangsa hanya calar dan kembali meneruskan sesi pembelajarannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE