PUTRAJAYA – Konsep Bandar Selamat diamalkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan disifatkan membantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dalam memantau sebarang isu keselamatan susulan pembukaan MRT2 Laluan Putrajaya, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, Putrajaya ialah bandar selamat dan pihaknya akan memastikan soal keselamatan itu dikawal sebaiknya.
Beliau berkata, soal keselamatan khususnya di Putrajaya Sentral dan Stesen MRT Putrajaya sentiasa dipantau menerusi kemudahan sistem rakaman litar tertutup (CCTV).
“Kami juga akan bekerjasama dengan rakan strategik termasuk polis bantuan dan Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi memantau sebarang isu keselamatan.
“Walaupun tak nampak anggota polis yang meronda tapi sebenarnya kita sedang memantau sebab kita menggunakan konsep ‘Anda Sedang Diperhatikan’,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peringatan Hari Polis Ke-216 di sini hari ini.
Katanya, setakat ini, keanggotaan bagi pemantauan dan rondaan di sekitar kemudahan pengangkutan awam itu mencukupi dan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan dan aduan berkaitan soal keselamatan sejak pengangkutan awam itu beroperasi Khamis lalu.
“Sambutan orang ramai terhadap pengangkutan awam itu amat menggalakkan dan trafik berjalan berjalan lancar dibantu kemudahan tempat letak kereta mencukupi.
“Cuma kita kena kaji balik dengan MRT mengenai sebarang penambahbaikan pada masa depan. Kami cuma ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan sebaliknya meletakkan di tempat yang sudah disediakan,” katanya.
MRT2 Laluan Putrajaya dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mac lalu selain menawarkan perkhidmatan percuma dari stesen MRT Kwasa Damansara hingga Putrajaya Sentral sehingga akhir bulan ini. – KOSMO! ONLINE