MELAKA – Institusi pendidikan di negeri ini masih berdepan dengan isu kepadatan murid di sekolah rendah dan menengah dengan jumlah mencecah satu nisbah 40 pada sesi akademik 2023/2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kekangan itu menyebabkan sebilangan murid Tahun Satu terpaksa memulakan persekolahan jauh dari kediaman.
Katanya, meskipun menerima rintangan daripada golongan ibu bapa, namun alternatif itu terpaksa dilakukan bagi mengelak sekolah-sekolah terlibat menjadi terlalu padat sehingga menganggu proses pembelajaran para murid.
“Ada sekolah di negeri ini yang mengalami kepadatan pelajar salah satunya adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerubong dengan jumlah pelajar hampir 1,400 orang tetapi kelas hanya 36 buah sahaja.
“Jadi kepadatan sudah mencecah satu nisbah 40, justeru saya minta kementerian untuk melihat bagaimana kita dapat bantu isu ini dan beberapa masalah lain termasuk keperluan asas pembelajaran seperti kerusi sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi akademik 2023/2024 di SK Kerubong di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara langkah penyelesaian yang telah dibincangkan adalah pembinaan sekolah di kawasan-kawasan baharu penempatan.
“Kita telah bincangkan dari awal, contoh banyak taman perumahan terutamanya yang berskala besar, pemaju sendiri akan memastikan ada tapak sekolah.
“Namun kita kena faham, sekali pun tapak itu telah diadakan, pembangunan ini akan mengambil masa kerana bajet pembinaan adalah dari kementerian dan kita tidak mahu membantutkan pembangunan lain yang diperlukan rakyat,”katanya.
Ujarnya, pihaknya bagaimanapun optimis isu kepadatan itu akan dapat diselesaikan secara berperingkat dengan pembinaan sekolah-sekolah baharu termasuk SK Kerubong 2 yang akan dijangka siap pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE