Oleh ASLIZA MUSA
TELUK INTAN – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang berhampiran Kunci Air Hardwork di Batu 12 di sini semalam ditemui mati lemas hari ini.
Mangsa, Woo Poh Meng, 69, dijumpai anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Langkap pada pukul 10.52 pagi kira-kira tiga kilometer dari kunci air tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Ismail Mohd. Yunus berkata, operasi mencari mangsa dijalankan semalam setelah menerima maklumat kehilangan lelaki itu pada pukul 7.33 malam.
Katanya, mangsa dipercayai hilang di kawasan kunci air itu berikutan penemuan barangan peribadinya di lokasi tersebut.
“Kerja mencari dan menyelamat mangsa yang disambung hari ini diteruskan dengan kaedah pencarian di permukaan air di mana anggota Unit K9 mengesan dua spot sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) membuat selaman di kawasan tersebut.
“Pada masa sama, anggota PBS Langkap turut menjalankan pencarian menggunakan bot selepas kunci air di bahagian hilir sebelum menjumpai mangsa pada jarak tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota PPDA kemudian turun ke lokasi mayat mangsa dijumpai menggunakan bot PBS Langkap berikutan air sungai yang cetek.
“Mangsa yang berjaya dinaikkan ke tebing diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 33 anggota melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, PPDA Teluk Intan, Unit K9, PDRM, Pertahanan Awam Malaysia (APM), PBS Teluk Intan dan Langkap dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya. – K! ONLINE