SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menghalang cubaan membawa masuk 50 kilogram (kg) mangga oleh sekumpulan rakyat tempatan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 Khamis lalu.
Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md. Hashim berkata, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Katanya, mangga seberat 50 kg itu cuba dibawa masuk oleh sekumpulan warganegara Malaysia yang baru pulang dari Kemboja.
“Ia berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM. Siasatan mendapati, mangga tersebut telah ditahan kerana tidak mempunyai permit import serta sijil fitosinasi yang sah.
“Perbuatan mengimport produk pertanian tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan dibawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), akta sama,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya.
“Maqis akan sentiasa memastikan tumbuhan binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam Malaysia adalah bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE