PUTRAJAYA- Seramai 35,147 orang murid sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Putrajaya dilihat terus bersemangat bagi memulakan sesi akademik 2023/2024 pada hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohamad Nasir Mustapha berkata, jumlah itu yang direkodkan sehingga pukul 8.30 pagi hari ini melibatkan seramai 22,028 orang merupakan murid sekolah rendah serta 13,119 pelajar sekolah menengah.
Menurutnya, keseluruhan jumlah murid terlibat membabitkan sebanyak 16 buah sekolah rendah dan 11 sekolah menengah.
“Kemasukan murid Darjah 1 bagi tahun 2023 adalah seramai 3,148 orang dan kemasukan pelajar Tingkatan 1 berjumlah 2,585 orang.
“Manakala, jumlah guru bagi sekolah rendah seramai 1,486 orang dan 767 guru sekolah menengah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1) mendapati rata-rata pelajar bersemangat dan ceria untuk memulakan sesi persekolahan penggal baharu 2023.
Perhimpunan pertama bagi sesi baharu itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu sekolah dan ikrar pelajar serta disusuli ucapan ringkas Pengetua SMK Putrajaya Presint 16(1), Kamaluddin Mohd Kassim.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan pelajar yang direkodkan adalah seramai 1,406 dengan 402 daripadanya merupakan pelajar baharu Tingkatan 1.- KOSMO! ONLINE