BARU-baru ini penulis meninjau sendiri beberapa kawasan industri di bawah sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang dilihat lebih didominasi oleh pekerja warga asing berbanding rakyat tempatan.
Keadaan ini ternyata memberi satu idea baharu kepada penulis untuk mengusulkan konsep penjenamaan semula (rebranding) terhadap sektor 3D agar mampu menarik minat warga tempatan bekerja terutama dalam kalangan belia.
Sebagai contoh, tiada lagi gelaran buruh kasar tetapi ia digantikan kepada penyelaras bangunan atau mereka yang bekerja sebagai pengutip sampah boleh digelar anggota alam sekitar
Jika sebelum ini penulis pernah melaporkan ramai pekerja warga asing di Malaysia mampu menjana simpanan RM400,000 selama lima tahun bekerja di negara ini apabila tidak kisah terlibat dalam sektor
3D seperti pembinaan, perladangan dan perkilangan.
Namun, menjadi satu persoalan kepada penulis, adakah sektor 3D ini akan terus dilabelkan sebagai ‘lubuk pekerjaan’ buat warga asing semata-mata sedangkan rakyat negara sendiri terus menganggur.
Selain penjenamaan semula, penulis meminta kerajaan mewujudkan satu garis ketetapan ‘ratio’ (catuan pekerja) 7:3 (pekerja tempatan:pekerja warga asing) agar pemain industri tidak bergantung penuh dengan golongan tersebut.
Setuju dengan pandangan yang diusulkan, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, dua kaedah tersebut amat relevan dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja warga asing.
“Saya setuju bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkomersialkan semula pekerjaan-pekerjaan di bawah sektor 3D.
“Kalau kita lihat sekarang ini sudah ramai petani-petani moden yang gunakan dron, jadi banyak teknologi dah boleh masuk dalam industri pertanian, perladangan dan ia amat membantu menarik minat warga tempatan khususnya belia untuk bekerja dalam industri ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya lagi, reformasi gaji perlu dibuat melibatkan sektor 3D dan kerajaan perlu mengkaji semula kadar pembayaran yang lebih sesuai setimpal dengan risiko pekerjaan itu sendiri.
“Sekiranya pekerjaan itu mempunyai risiko yang tinggi, sepatutnya pembayaran gaji itu mestilah tinggi, jadi apa yang saya lihat sekiranya kerajaan boleh buat reformasi balik, saya yakin ramai anak muda
tempatan akan bekerja dalam sektor 3D,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan untuk wujudkan satu garis ketetapan melibatkan catuan pekerja iaitu 7:3, Mohd. Effendy berkata, perkara tersebut dapat mengimbangi
“Kita bukan nak menafikan keperluan negara kita yang memerlukan tenaga kerja pekerja asing bagi membantu kelancaran sesebuah industri.
“Tetapi pada masa sama kita perlu ada satu ketetapan ‘ratio’ (catuan pekerja) untuk mengimbangi pengambilan pekerja asing dan peluang pekerjaan untuk warga tempatan.
“Untuk dapatkan satu ratio yang tepat, mesti ada satu kajian yang dibuat, tapi bagi saya 7:3 adalah satu pembahagian yang munasabah untuk dilakukan,” jelasnya.