CAPE TOWN – Seorang ketua trafik di Bushbuckridge, Afrika Selatan, mati ditembak selepas berasmara dengan kekasihnya di dalam kenderaan di sebuah kawasan belukar di Mpumalanga, lapor laman berita Punch kelmarin.
Laman berita tempatan, TimesLive melaporkan bahawa Judas Chiloane, yang berusia 60 tahun ditembak sebanyak dua kali di tempat duduk belakang kenderaan Ford Ranger miliknya manakala kekasihnya tidak mengalami kecederaan.
Dua suspek, Charles Mbungeni Mabuza dan Howard Mashego telah ditangkap pada 13 Mac lalu berhubung insiden itu.
Menurut laman berita Daily Sun, dua suspek tersebut melucutkan senjata api milik Chiloane dan menggunakan pistol lelaki itu untuk menembaknya.
Mangsa yang hanya memakai seluar dalam ketika kejadian itu mengalami kecederaan selepas ditembak.
Dalam satu kenyataan, polis menyatakan bahawa mangsa pergi ke kawasan semak bersama teman wanitanya tetapi diganggu oleh suspek-suspek yang tidak dikenali tersebut yang melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.
Chiloane kemudian cuba memecut kenderaan Ford Ranger berwarna putih sejauh kira-kira 124 meter tetapi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya. – Agensi