PETALING JAYA – ‘Kebanjiran’ warga Thailand di kedai-kedai emas di sekitar Pantai Timur terutamanya Kelantan tidak merugikan negara, sebaliknya memberi keuntungan kepada peniaga-peniaga tempatan.
Presiden Pertubuhan Emas Malaysia (MGA), Datuk Louis Ng berkata, situasi itu bukan sahaja sedang berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia apabila orang ramai berebut-rebut untuk membeli barangan kemas.
Menurutnya, keadaan itu berlaku ekoran krisis perbankan global yang dijangka berlarutan sekurang-kurangnya setahun.
“Orang Thailand membeli emas kita sebab corak yang pelbagai, tiada cukai dan harga tukang upah yang murah berbanding di negara asal. Tiada masalah jika mereka ingin borong dan kemudian jual semula di negara mereka.
“Tukang upah tempatan juga akan dapat untung. Hari ini harga emas berada di paras yang tertinggi iaitu RM310 pergram,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Berita berkaitan: Orang Siam gila beli emas Malaysia
Berita berkaitan: Warga asing beli emas Malaysia sebab tahan lasak, corak unik
Ujarnya, tiada kesan negatif akan berlaku terhadap Malaysia jika trend itu berterusan, sebaliknya menjangkakan permintaan emas akan melonjak.
Pengasas Kelab Saudagar Malaysia, Ahmad Asmadi Yusof pula berkata, trend tersebut akan berterusan kerana ramai yang sedar bahawa emas akan membantu mereka dalam menghadapi kemelesetan ekonomi.
“Kebanyakan bank pusat sekarang sedang membeli emas sejak hujung tahun lalu sehingga awal tahun ini.
“Sebab itu, harga emas akan melonjak naik, dan sebab itu orang Thailand juga mempunyai ramalan yang sama,” ujarnya.
Sabtu lalu, Kosmo! melaporkan pengusaha kedai emas di Kelantan kini sibuk melayan kehadiran rakyat Thailand yang sanggup menyeberang sempadan untuk membeli pelbagai koleksi barangan kemas.
Situasi itu berlaku sejak November tahun lalu apabila kebanyakan kedai emas di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kota Bharu diserbu rakyat negara jiran.