TEHERAN – Lima gadis ditangkap di Iran selepas menari mengikut irama lagu penyanyi pop popular Amerika Syarikat (AS), Selena Gomez tanpa memakai tudung, lapor portal berita MailOnline semalam.
Iran menguatkuasakan undang-undang yang ketat mengenai tarian dan bentuk hiburan awam lain terutamanya untuk golongan wanita.
Satu video pendek menunjukkan kumpulan gadis tersebut yang memakai pakaian Barat menari lagu Calm Down nyanyian bersama penyanyi Nigeria, Rema dan Gomez. Ia dilaporkan dirakam di bandar Ekbatan, barat Teheran serta berlangsung ketika Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac lalu.
Bagaimanapun, perbuatan gadis-gadis berkenaan disifatkan sebagai tindakan yang menentang rejim Iran manakala Gomez turut berkongsi video dan berita tentang penahanan mereka di laman Instagramnya.
Penyanyi itu menulis: “Kepada wanita muda ini dan semua wanita Iran yang terus berani menuntut perubahan asas, sila ketahui bahawa kekuatan anda telah memberikan inspirasi.”
Sebelum ini, seorang wartawan dan pembikin filem, Maziar Bahari menulis di internet: “Ini adalah adegan biasa di kebanyakan bandar di seluruh dunia. Tetapi di Iran, ia adalah satu tindakan penentangan.” – Agensi