PORTIMAO, Portugal – Ketika prestasi Franco Morbidelli dalam keadaan terumbang-ambing dan berdepan kemungkinan ‘ditendang’ keluar daripada pasukan Yamaha, Valentino Rossi menjadi individu bertanggungjawab mengembalikan semula semangat pelumba Itali tersebut.
Pengarah Sukan VR46, Alessio Salucci menegaskan, pihaknya tidak tahu apa yang berlaku terhadap Morbidelli, tetapi mendedahkan bahawa Rossi menumpukan 60 peratus terhadap anak didiknya itu berbanding Akademi VR46 miliknya.
Sebagai rekod, Morbidelli adalah antara pelumba pertama berada di bawah asuhan Rossi ketika Akademi VR46 diasaskan pada 2014 dan kemudian pelumba itu berjaya menjuarai gelaran dunia Moto2 pada 2017.
Setelah melangkah ke kelas perdana pada 2018, Morbidelli terlepas gelaran dunia pada 2020 kepada Joan Mir (Suzuki) dengan hanya dipisahkan 13 mata sejurus mencatat tiga kemenangan dan lima podium.
Sejak itu, prestasi Morbidelli tidak konsisten apabila mengalami kecederaan lutut pada 2021 dan menyukarkannya menyesuaikan diri dengan jentera Yamaha.
Keadaa itu memaksanya menamatkan kempen 2022 dalam keadaan menyedihkan apabila dia berada di kedudukan ke-19 keseluruhan dengan mengutip 42 mata.
“Saya akan memberitahu anda satu perkara, Rossi kini memberi 60 peratus tumpuan kepada Morbidelli dan 40 peratus kepada pelumba lain dalam akademinya.
“Kami banyak bekerja dengannya dan ia tidak mudah, tetapi saya tidak dapat menjawab soalan anda apa masalah utama yang membelenggu Morbidelli pada saat ini. Kami berharap tahun ini dia boleh kembali berdaya saing,” Salucci.
Morbidelli menandatangani kontrak dua tahun dengan Yamaha pada pertengahan 2021 dan kekal bersama pasukan itu walaupun mengalami kesukaran musim lalu.
Disebabkan keadaan yang tidak konsisten, Yamaha dikatakan sedang merisik pemenang perlumbaan Moto2, Alonso Lopez dan beberapa pelumba lain untuk menyertai pasukan satelit tahun depan. –AGENSI